SELANGOR

Peruntukan RM390,000 bina semula balai raya

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 16 JAN: Kerajaan Negeri memperuntukan RM390,000 bagi tujuan meroboh dan membina semula pembangunan infrastruktur Balai Raya Kampung Dato’ Lee Kim Sai, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, balai raya itu dibina semula bagi menggantikan pembinaan sebelum ini yang berstruktur papan.

“Balai raya yang bakal siap Februari ini adalah berstruktur batu dan lebih moden daripada asal.

“Kerja menaik taraf perlu dijalankan bagi memudahkan komuniti di kawasan Kampung Dato’Lee Kim Sai ini melakukan aktiviti kemasyarakatan,”katanya.

Beliau berkata ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan Balai Raya Kampung Dato’Lee Kim Sai, di sini, hari ini.

Terdahulu, balai raya dua tingkat itu turut mempunyai pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat di tingkat atas dan kawasan lapang di bahagian bawah untuk mengadakan aktiviti ‘indoor’.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, pembangunan balai raya itu dimulakan projeknya pada 7 September tahun lalu dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Gombak.

Terdahulu, pada Belanjawan 2018 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta untuk pembangunan kampung baru.


Pengarang :