PBTSELANGOR

Peruntukan tambahan MPSp, jana pembangunan mampan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JAN : Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menjangkakan perolehan peruntukan lebih besar untuk tempoh tahun akan datang selepas mengambil kira keperluan pembangunan di kawasan perbandaran itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Mohd Taib berkata, RM150 juta telah diperuntukkan kepada MPSp bagi tujuan pengurusan dan pembangunan kawasan majlis.

“Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah sekitar RM200 juta hingga RM250 juta memandangkan keperluan pembangunan Sepang yang sangat berdekatan dengan Putrajaya,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Dato’ Puasa berkata, beliau optimis Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan menyeluruh terhadap keperluan itu.

“Untuk tempoh sebelum ini, peruntukan diterima pihak majlis digunakan bagi tujuan pembaikan longkang, fasiliti setempat, dan kemudahan am lainnya,” katanya.

Pada masa sama katanya, pembinaan Dengkil Walk juga dibangunkan MPSp bagi tujuan kawasan riadah penduduk setempat.

“Pembangunan Dengkil Walk ini dilaksanakan sebagai kawasan riadah baru kerana kedudukannya mampu menjadi daya tarikan kepada penduduk.

“Malah, ia juga sangat dekat dengan kampus UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan membolehkan pelajar beriadah pada waktu petang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :