SUKANKINI

Piala Belia: TMJ cadang nama Tengku Abdullah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 JAN: Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantikan nama Piala Belia kepada nama baginda.

Sebaliknya, Presiden FAM itu mengemukakan cadangan balas supaya piala terbabit ditukar kepada nama mantan Presidennya iaitu Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Beta tidak bersetuju kerana beta tiada apa-apa sumbangan kepada bola sepak tanah air.

“Nama piala terbabit mesti sempena nama individu yang sudah berjasa kepada bola sepak tanah air.

“Beta cadangkan piala ini ditukarkan kepada Piala Tengku Abdullah bagi menghargai jasa baginda dalam bola sepak tanah air selama ini,” titahnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusuff Mahadi berkata, cadangan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM mendapati nama Piala Belia tidak lagi sesuai untuk kejohanan bagi pemain di bawah 19 tahun (B-19).

Ini kerana, katanya, keputusan jawatankuasa itu mengkategorikan pemain berusia 17 tahun sebagai belia.

“Kita akan mengusulkan perkara ini kepada kepada Tunku Ismail bagi mendapat persetujuannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu.


Pengarang :