Piala Sultan Selangor 25 Ogos ini | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Afix Redzuan

Piala Sultan Selangor 25 Ogos ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JAN: Piala Sultan Selangor edisi ke-17 bakal berlangsung 25 Ogos ini di Stadium Shah Alam dengan pertembungan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura selain meneruskan pertandingan Piala Pilihan dan Veteran, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang diperkenal julung kalinya pada edisi lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata tarikh 25 Ogos dipilih atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


“Kejohanan tahunan ini adalah kesinambungan perlawanan persahabatan antara Selangor dan Singapura yang diperkenalkan sejak tahun 2001 bagi menggamit nostalgia dua musuh tradisi yang saling bersaing dalam Liga Malaysia sebelum ini.

“Dengan perkenan Tuanku Sultan Selangor, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang pertama kali diadakan di Singapura tahun lalu jelas mencetuskan satu lagi perkembangan kejohanan ini dalam erti kata lain memupuk semangat kesukanan bola sepak bermula dari peringkat sekolah,” katanya.

Perlawanan bermula dengan aksi Veteran pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama pada jam 9 malam dan jam 5 petang pula membabitkan aksi Piala Cabaran Sekolah-Sekolah.

Dalam edisi ke-16 yang berlangsung pada 6 Mei lalu, skuad Veteran Selangor dan Veteran Singapura dinobatkan sebagai juara bersama selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Nasional, Singapura.

Bagaimanapun, Pilihan Singapura berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Selangor 3-2, manakala Sekolah Sukan Singapura membawa pulang Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas menewaskan Gabungan Sekolah Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next