SELANGOR

PKNS bantu tingkat kemudahan Sekolah KAFA Integrasi Taman Desa Kemandul

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 15 JAN: Pelajar Orang Asal Taman Desa Kemandul kini dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif dan serba lengkap hasil sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, PKNS bersama Anak Syarikat PKNS, PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) mengambil inisiatif mengagihkan wang zakat perniagaan berjumlah RM170,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, ia sebagai bantuan pembinaan bangunan Sekolah KAFA Integrasi Taman Desa Kemandul bagi memberi peluang kepada anak-anak masyarakat orang asal untuk mendalami ilmu agama dan mendapatkan pendidikan formal.

“Kami benar-benar tersentuh dengan kesungguhan anak-anak di kawasan ini yang begitu bersemangat serta menunjukkan dedikasi yang cukup tinggi untuk mengejar ilmu akhirat.

“Walaupun sebelum ini fasiliti dan keperluan yang serba kekurangan, mereka tidak patah semangat dan tetap teguh menuntut ilmu,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan sekolah itu, baru-baru ini.

Sekolah KAFA Integrasi Taman Desa Kemandul merupakan sekolah kedua ditubuhkan di Selangor selepas Sekolah KAFA Integrasi Kampung Orang Asli Bukit Bangkong yang menawarkan pengajian al-Quran dan Fardhu Ain.

Penyerahan kunci bangunan sekolah KAFA Integrasi Taman Desa Kemandul secara rasminya disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Dr Noraida berharap dengan terbinanya bangunan baharu beserta kelengkapan perabot itu sedikit sebanyak memberi manfaat dan keselesaan kepada anak-anak orang asal di kawasan itu untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kancah masalah sosial.

“Saya berharap sumbangan disampaikan ini dimanfaatkan sebaiknya untuk kebaikan bersama serta objektif sumbangan dana ini dapat dicapai sekali gus menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus menyumbang kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.

Sekolah KAFA Integrasi itu menawarkan dua kelas merangkumi tahap 1 (darjah 1 hingga darjah 3) dan tahap 2 (darjah 4 hingga darjah 6) mempunyai jumlah pelajar terkini seramai 23 orang pelajar dan dijangka bertambah kepada 50 orang keseluruhan dalam masa terdekat untuk sesi persekolahan kali ini.

Bagi tahun ini, PKNS komited mengagihkan semula peruntukan wang zakat berjumlah RM1.4 juta mengikut lunas-lunas hukum syarak yang ditetapkan untuk asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin dalam mencapai keseimbangan holistik di Selangor menerusi Sumbangan Kepada Kerajaan Negeri, Komuniti dan Kebajikan Sosial serta Pendidikan yang diterjemah menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PKNS.


Pengarang :