BERITA UTAMASELANGOR

Pupuk semangat kerja lebih produktif & ‘smart’

OLEH SABIRAH AZIZ

FOTO OLEH: REMY ARIFIN

SHAH ALAM, 29 JAN: Bantuan khas kewangan diberikan kepada penjawat awam Selangor dapat memupuk semangat kepada mereka supaya bekerja lebih kuat, produktif dan ‘smart’.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemberian itu adalah hasil penat lelah, komitmen serta sokongan utuh penjawat awam menterjemahkan dasar negeri dalam pelbagai bentuk program dan inisiatif.

“Kerajaan Negeri memberikan bonus sebanyak tiga bulan gaji. Ia diberikan atas pertimbangan merit kejayaan dan sebagai rangsangan.

“Tiada sebarang keraguan anda semua boleh melakukannya dan layak mendapat yang terbaik dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) : Gambar Oleh: REMY ARIFIN

Dihoskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, majlis turut disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin turut bersyukur atas komitmen diberikan penjawat awam apabila konsisten dan tidak bermusim, bukan hanya di hujung tahun tetapi sepanjang tahun.

“Lihat saja perhimpunan bulanan pada kali ini penuh sesak sehingga terpaksa ditambah kerusi tanpa ada perebutan. Inilah satu-satunya pertambahan kerusi yang tiada perebutan.

“Saya tidak bermaksud yang lain tapi ia membuktikan bagaimana sokongan dan dorongan penjawat awam Selangor hari ini cukup utuh dan kuat dengan hasrat pembangunan Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :