EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 30 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pengambilan untung sederhana ekoran penurunan harga minyak mentah dunia, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 3.8930/8960 berbanding dolar AS daripada penutup 3.8790/8840 pada Isnin.

Penanda aras minyak mentah Brent jatuh 1.41 peratus kepada AS$69.16, penurunan yang juga dilihat dalam semua kelas minyak mentah, kata seorang peniaga.

Sementara itu, Ketua Dagangan Oanda Corp bagi Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata kenaikan hasil Amerika Syarikat yang tidak dijangkakan memberikan ancaman paling utama kepada mata wang serantau.

“Taruhan bulis ke atas ringgit telah menyusut apabila pengambilan untung muncul dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

“Terdapat banyak perbahasan mengenai apakah yang menyebabkan jualan dalam pasaran di seluruh dunia ini, tetapi kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang dijangkakan hari ini dan pengumuman data ekonomi AS,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9690/9720 daripada 2.9617/9667, dan susut berbanding yen kepada 3.5725/5763 daripada 3.5656/5708.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4743/4793 daripada 5.4721/4799 dan turun berbanding euro kepada 4.8172/8213 daripada 4.8138/8216 pada Isnin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :