EKONOMIRinggit

Ringgit kekal kukuh

SHAH ALAM, 23 JAN: Ringgit meneruskan aliran meningkatnya untuk ditutup tinggi, berbanding dolar AS disokong kekukuhan harga minyak dan sentimen risiko yang bertambah baik.

Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada 3.9250/9280, berbanding dolar AS daripada 3.9330/9370 semalam.

Ketua Dagangan OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes berkata, tinjauan bagaimanapun sedikit terjejas oleh kemungkinan peningkatan sekatan dagangan Amerika Syarikat.

“Langkah agresif pertama yang dilancarkan hari ini barangkali akan mencetuskan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Cina dan Korea Selatan dan kemungkinan negara lain di Asia.

“Pentadbiran AS mengenakan tarif ke atas import panel solar dan mesin basuh, langkah yang dilihat boleh mencetuskan perang perdagangan antara beberapa ekonomi global,” kata Innes kepada BERNAMA.

Beliau juga menjangkakan ringgit bergerak dalam jajaran kecil menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah, pada Khamis dengan paras sokongan ringgit dilihat pada 3.92, manakala paras ketahanan pada 3.94 berbanding dolar AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9737/9771 daripada 2.9809/9848 pada Isnin.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.5466/5499 daripada 3.5522/5565 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.8026/8079 daripada 4.8179/8232.Bagaimanapun, ia turun berbanding pound British kepada 5.4738/4788 daripada 5.4653/4724 semalam. \


Pengarang :