EKONOMIRinggit

Ringgit kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Ringgit mencatat lantunan untuk dibuka lebih tinggi, berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini ekoran pengukuhan permintaan, kata peniaga.

Pada jam 9.12 pagi, ringgit berada pada 3.9410/9450, berbanding dolar AS dari 3.9540/9570, penutup Khamis, lapor BERNAMA.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di Oanda Corp, Stephen Innes berkata, ringgit tidak dijangka mengalami kejutan atau pergerakan ketara menjelang hujung minggu, ekoran kestabilannya minggu ini.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Khamis depan dijangka mempengaruhi arah tuju ringgit untuk jangka pendek.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8242/8303 dari 4.8290/8339 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9838/9875 dari 2.9887/9912.

Ringgit menokok berbanding yen kepada 3.5498/5544 dari 3.5522/5553 tetapi susut berbanding pound British kepada 5.4752/4824 dari 5.4731/4777.


Pengarang :