EKONOMIRinggit

Ringgit sedikit rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi dagangan awal, pagi ini ekoran kekurangan momentum belian, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada paras 3.9625/9655, berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9520/9560, pada Khamis.

Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka reda ekoran jangkaan jualan dolar AS akibat hasil AS yang lebih tinggi serta nada tegas Rizab Persekutuan negara itu mengenai kenaikan kadar faedah.

Katanya, ringgit juga berkemungkinan memasuki tempoh pengukuhan sementara menunggu pemangkin seterusnya di peringkat domestik.

“Pasaran bon ringgit agak goyah sedikit semalam. Selepas cuba mencatat kenaikan pada pembukaan semalam, langkah itu sebaliknya berdepan aktiviti jualan yang berlanjutan sepanjang sesi semalam dan membayangkan bahawa pasaran cuba mengurangkan risiko yang ada,” katanya lapor BERNAMA.

Susulan ketiadaan permintaan bon di peringkat tempatan, pasaran dijangka menyaksikan dolar AS/ringgit mengukuh akibat perkembangan prestasi hasil AS yang tinggi dan dolar AS yang meningkat, kata Innes.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia lain.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8303/8351 daripada 4.8388/8441 sebelum ini dan tinggi, berbanding yen kepada 3.5596/5629 dari 3.5674/5720.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.4754/4811 dari 5.4506/4577 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9888/9917 dari 2.9867/9906.

 


Pengarang :