SELANGOR

RM1 juta untuk ABIM teruskan misi bantuan kemanusiaan Syria

 

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 16 JAN: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi meneruskan usaha pertubuhan itu dalam misi bantuan kemanusiaan ke Syria.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan terbabit diamanahkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin kepada ABIM untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Mohamed Azmin sangat prihatin dan cepat meluluskan permohonan ABIM supaya melaksanakan misi itu dengan segera.

“Kerajaan Negeri mahu melihat ABIM dan pemuda belia komited meneruskan perjuangan ini.

“Diharapkan ABIM memanfaatkannya sebaik mungkin terutamanya membantu pelarian ketika musim sejuk ini,” katanya kepada SelangorKini selepas penyerahan cek sumbangan di Pejabat ABIM, semalam.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri mengalukan dan menyokong perjuangan yang dilaksanakan ABIM sekali gus merancang meneruskan pelbagai bantuan akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahir Azfar berkata pihaknya mengalukan dan berterima kasih atas sumbangan terbabit.

Katanya, dengan sumbangan itu sedikit sebanyak membantu memudahkan perjalanan misi kemanusian itu nanti.

“Kita berharap sumbangan ini boleh dijadikan pilot projek atau projek angkat Selangor dalam pelbagai lagi misi kemanusian selepas ini,” katanya.

 


Pengarang :