GLOBAL

Rokok vape boleh sebabkan kerosakan DNA, punca kanser

GLOBAL 31 JAN: Kajian penyelidik Universiti New York mendapati menghisap rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan kerosakan pada asid deoksiribonukleik (DNA)

Keadaan itu sekali gus mendorong kepada pembentukan kanser dalam badan, lapor Portal Mail Online

Universiti New York menjalankan kajian terhadap sel-sel pundi kencing dan paru-paru yang didedahkan dengan asap vape.

Para pengkaji mendapati sel pada kedua-dua organ berkenaan rosak dan risiko menghidap kanser adalah lebih tinggi berbanding jangkaan mereka.

Penggunaan tikus dalam kajian itu menunjukkan haiwan tersebut turut mengalami kerosakan DNA yang signifikan selepas didedahkan dengan asap vape.

Kajian itu secara tidak langsung menolak tanggapan masyarakat bahawa menghisap vape adalah lebih selamat berbanding rokok konvensional.

Rokok elektronik menyebarkan kesan bahaya nikotin terhadap pengguna menerusi bahan kimia aerosol tanpa perlu membakar tembakau.

Biarpun tembakau mempunyai nitrosamine dan banyak bahan kimia carcinogenic akibat proses pembakaran, rokok elektronik juga mempunyai nikotin dan beberapa bahan pelarut organik.

Kajian terdahulu juga mendapati perokok elektronik mempunyai kekurangan karsinogen paru-paru dalam cecair tubuh mereka sehingga 97 peratus berbanding mereka yang menghisap rokok tembakau.

Namun, keadaan itu tidak memberi jaminan bahawa menghisap rokok elektronik adalah lebih sihat dan mampu mengelak daripada risiko kanser.

Sementara itu, kajian tersebut turut menegaskan perokok elektronik mempunyai risiko lebih tinggi berbanding bukan perokok untuk menghidap kanser pundi kencing dan paru-paru serta terkena serangan jantung.

SUMBER: MAIL ONLINE


Pengarang :