NASIONAL

Romah Makan Terlajak Laris empayar baru Aliff Syukri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 23 JAN: Kerana terlalu cintakan dunia masakan, usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman melebarkan jaringan perniagaannya menerusi pembukaan Restoran Romah Makan Terlajak Laris.

Optimis pembukaan restoran itu mampu menarik ramai pengunjung, Aliff berkata, 101 sajian makanan istimewa bakal ditawarkan kepada orang awam, pada kadar berpatutan.

Lebih menarik kata jutawan kosmetik itu, sempena pembukaan rasmi restoran berkenaan petang ini, minuman percuma diberikan kepada pengunjung sepanjang tempoh promosi dijalankan.

“Ini minat saya, selain kecenderungan terhadap dunia perniagaan kosmetik, ramai tidak tahu dalam kehidupan peribadi, saya juga memang gemar memasak.

“Jadi dengan modal yang ada, restoran ini dibuka kepada umum dan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat, saya menawarkan minuman percuma kepada pengunjung sepanjang tempoh promosi.

“Selain itu, tempoh promosi ini juga akan menawarkan harga RM1 sahaja bagi semua jenis bubur di restoran ini,” katanya pada sidang media Majlis Pembukaan Restoran Romah Makan Terlajak Laris, di Kota Damansara, petang ini.

Beliau berkata, sajian istimewa yang disajikan kepada pengunjung berupa makanan Siam, masakan Melayu, Banjar, Jawa dan Bugis.

“Sasaran saya, lima cawangan akan dibuka tahun hadapan dan saya berharap restoran ini dapat dikomersialkan seperti Old Town dan syarikat francais lain.

“Namun, pembukaan restoran ini sebenarnya dibuat bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa saya bukan sahaja seorang usahawan kosmetik tetapi juga boleh berjaya dalam bidang keusahawanan fesyen dan makanan,” katanya.

Pada sidang media sama, Aliff turut melancarkan Koleksi Tudung AliffbySha V Five Inspired Woman.

Beliau berkata, pelancarannya dibuat rentetan kolaborasi AliffbySha X Go Halal menerusi penjualan tudung bawal satin silk yang diimport dari Korea.

“Koleksi AliffbySha V Five Inspired Woman bakal dipasarkan bermula 30 Januari ini hasil penjenamaan kempen kolaborasi bersama lima wanita yang dipilih khas oleh saya sendiri.

“Pemilihan wanita ini seiring personaliti bertudung yang digayakan mereka dan kejayaan selebriti ini dalam karier masing-masing,” katanya.

Selebriti terbabit adalah Nadia Annuar, Uyaina Arshad, Nabila Razaly, Joy Reyfa dan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid.

Sementara itu, koleksi tudung bawal Satin Silk dengan saiz 45” x 45” berkenaan dijual dengan harga RM99 dan boleh didapati melalui stokis dan agen seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura atau melalui laman sesawang, AliffbySha.


Pengarang :