SELANGOR

Selangor ambil inisiatif wartakan 122 kuil

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 31 JAN: Berbeza dengan beberapa negeri lain, rumah ibadat bukan Islam di Selangor bukan sahaja menerima sumbangan tetapi turut diberikan perlindungan daripada ancaman pembangunan apabila Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mewartakannya sebagai tapak rumah ibadat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara yang diwartakan termasuklah 122 buah kuil penganut agama Hindu di Selangor.

“Kuil tempat yang suci bagi penganut agama Hindu. Inilah tempat mereka memberi perhatian dalam ibadat agama Hindu itu sendiri sebab itu kuil ini perlu dijaga dengan baik.

“Sekali lagi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mewartakan 122 kuil dalam Selangor supaya kuil ini berada dalam tapak selamat dan mempunyai masa depan selamat dan dapat perlindungan,” katanya pada Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar di sini, malam tadi.

Jelasnya, langkah ini diambil supaya kuil di Selangor dihormati sekaligus mengelakkan kejadian dirobohkan seperti yang pernah berlaku sebelum 2008.

Katanya, beliau memberi jaminan kepada masyarakat Hindu bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (Pakatan).

“Sebagai orang Islam kita tidak boleh menghina agama lain dan saya memberi jaminan, orang Hindu bebas mengamalkan agama dan budaya di negara ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :