BERITA UTAMANASIONALSELANGOR

‘Sentimen Selangor’ pengaruhi corak undian pusat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Rekod cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mewujudkan ‘sentimen Selangor’ dalam kalangan rakyat negeri termaju itu.

Penganalisis bebas, Dato’ Dr Samsul Adabi Mamat berkata, sentimen rakyat itu bukan sahaja menjadi faktor untuk Pakatan Harapan (Pakatan) kekal di Selangor, malah berperanan besar mempengaruhi corak undian di peringkat persekutuan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, kajian pada 2016 membuktikan wujudnya sentimen Selangor dengan 70 peratus rakyat berpuas hati dengan Kerajaan Negeri, hari ini dan mereka akan terus mengundi kerajaan sedia ada.

“Sokongan ini menunjukkan apa dilakukan Kerajaan Negeri berada pada landasan tepat dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menumbangkan Umno-BN di peringkat persekutuan, pada PRU-14.

“Sentimen Selangor adalah sentimen rakyat, kepuashatian rakyat terhadap pentadbiran semasa negeri, iaitu Pakatan berasaskan dasar di Selangor seperti air percuma, bas percuma juga kepuashatian kakitangan awam berdasarkan manifesto digariskan,” katanya kepada SelangorKini.

Bekas Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, Selangor akan terus berada di bawah pentadbiran Pakatan jika sentimen itu kekal dalam kalangan rakyat.

Katanya, perkara itu boleh direalisasikan walaupun terdapat pertandingan tiga penjuru, pada pilihan raya kali ini.

“Justeru, Kerajaan Negeri hari ini perlu meneruskan prestasi cemerlang pentadbiran dengan menggunakan pendekatan pelbagai idea menarik bagi mengekalkan sokongan di Selangor, sekali gus meraih sokongan di peringkat Persekutuan,” katanya.


Pengarang :