SELANGOR

Sesi bersama adiwira tarikan FESBUK’18

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Sesi bersama adiwira menjadi tarikan dalam Festival Buku dan Kanak-Kanak 2018 (FESBUK’18) berlangsung di SACC Mall, pada 2 hingga 4 Februari ini.

Ketua Unit Gerakan Literasi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Norkhairul Nizam M Sadon, berkata acara itu diadakan bersesuaian dengan teman festival kali ini iaitu ‘Adiwira Membaca’.

“Kanak-kanak ada adiwiranya maka kita menggunakan ikon adiwira ini supaya menjadikan mereka minat membaca.

“Dengan tema ditampilkan maka watak adiwira akan berperanan sebagai hero membaca,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Antara ikon adiwira disukai kanak-kanak ialah seperti Superman, Ironman, Spiderman, Batman dan Hulk.

Selain itu, FESBUK’18 dianjurkan bersama PPAS dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) turut mempersembahkan pertunjukan Superhero Marvel, karnival jualan buku, pertunjukan fesyen kanak-kanak, cabutan bertuah dan sebagainya.

FESBUK’18 adalah festival tahunan kali keempat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada seisi keluarga dengan program sebelum ini mencatat penyertaan lebih 30,000 hadirin.


Pengarang :