SELANGOR

SILK anjur program derma darah, tingkat kesedaran awam

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sistem Lingkaran Lebuhraya-Kajang Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) menganjurkan Program Derma Darah SILK di Pejabat Operasi Lebuhraya Kajang SILK, Plaza Tol Sungai Balak, hari ini.

Pengurus Besar SILK, Adzmi Shafie berkata, program tahunan sejak 2014 yang terbuka kepada orang awam dan kakitangan SILK itu menyasarkan 200 pain darah untuk dikumpulkan sepanjang tahun ini.

“Penderma yang datang juga berpeluang memenangi cabutan nombor bertuah dan mengambil bahagian dalam pertandingan swafoto di laman media sosial Facebook kami dengan menggunakan hashtag #SILKjomdermadarah.

“Tiga gambar paling kreatif dan mendapat jumlah like dan share terbanyak dipilih sebagai pemenang,” katanya dalam kenyataan.

Adzmi berkata, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa individu memerlukan selain membantu menangani masalah kekurangan bekalan darah.

“Semenjak program ini dianjurkan, kami juga menerima penderma setia yang datang ke program kami setiap kali ia dianjurkan.

“Sebagai menghargai sumbangan mereka, SILK telah menyediakan cenderahati khas kepada lapan penderma setia tersebut,” katanya.


Pengarang :