NASIONAL

Skandal RM40 juta PTPK, apa sudah jadi?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Keberkesanan pelaksanaan dasar Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) terus dipersoal banyak pihak, termasuk selebriti tanah air, Ahmad Idham Nadzri.

Beliau menerusi kenyataan di Twitter mendakwa, selepas siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan RM40 juta membabitkan PTPK dijalankan, isu berkenaan seolah ‘diam’ begitu sahaja.

Kata Pengarah Filem Jangan Pandang Belakang itu lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya tampil memberi penjelasan terhadap isu berkenaan.

“Apa sebenarnya masalah di tabung kemahiran ini ya. Hingga kini, tiada kuota diberi untuk pelajar 2018. Adakah ini juga impak kepada skandal RM 40juta itu?

“Mohon jasa baik YB DSri @NajibRazak lihat perkara ini. Kesian remaja yang nak belajar ini,” tulisnya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan RM40 juta yang berlaku, di agensinya.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pihaknya memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi menjalankan siasatan berhubung kes itu, lapor Utusan Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penahanan empat individu, termasuk Ketua Eksekutif PTPK bergelar Datuk direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana kerajaan RM40 juta untuk tujuan program latihan.

Bagaimanapun, Ahmad Idham berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan sewajarnya mampu memberi pulangan kemahiran baik kepada remaja.

Namun, katanya, pendedahan terhadap wujudnya skandal berkenaan hanya akan merencatkan perkembangan positif bidang kemahiran golongan belia kini.

“Banyak pusat bertauliah kemahiran yang terkesan, termasuk akademi saya apabila tiada pemberian kuota selepas kes skandal RM 40juta, di tabung kemahiran itu.

“Pengurusan KUOTA di PTPK cacar marba. Peluang remaja belajar kemahiran tertutup dan skandal RM40 juta tak tahu apa kesudahan. Amat sedih dengan senario ini,” tulisnya lagi.


Pengarang :