SELANGOR

Skim Peduli Sihat penjawat awam Selangor bantu lebih 10,000 penerima

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor bakal membantu lebih 10,000 penerima mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah, terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

“Melalui skim takaful kesihatan ini, setiap penjawat awam akan menerima manfaat had rawatan kesihatan sebanyak RM10,000 setahun bagi menampung kos ‘hospitalization’ selain daripada skop perlindungan yang meliputi manfaat kematian dan hilang upaya kekal.

“Kebajikan penjawat awam sentiasa dekat di hati saya. Sementara ada suara memberikan pandangan negatif terhadap perkhidmatan awam dan mahu ianya dikecilkan, saya mengambil pendirian yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada majis itu, beliau turut melancarkan Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor untuk penjawat awam dengan menyerahkan Kad Peduli Sihat kepada sepuluh wakil penerima.

Skim Peduli Sihat dilaksana Kerajaan Negeri melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), bertujuan meringankan beban kos sara hidup tinggi dengan peruntukan RM125 juta setahun.

Ia mensasarkan satu juta rakyat Selangor berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah bakal mendapat manfaat perlindungan kesihatan sekali gus menambah akses kepada rawatan kesihatan asas dan seterusnya meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat.

Pelaksanaan skim berkenaan membolehkan rakyat kurang berkemampuan menerima Kad Peduli Sihat bagi mendapatkan pembiayaan rawatan kesihatan asas di lebih 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

=EZY=


Pengarang :