PELANCONGANSELANGOR

Tarikan Selangor pikat pelancong Sepanyol

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JAN: Prospek pelancongan negeri diperlebar luas bagi menarik kedatangan pelancong dari Eropah, khususnya Sepanyol ke negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi penyertaan Selangor, pada program Persidangan Pelancongan Antarabangsa (FITUR 2018) di Madrid, pada 18 Januari lalu.

Beliau berkata, Selangor menawarkan prospek pelancongan terbaik kepada pelancong negara itu, dengan kepelbagaian destinasi pelancongan yang ada.

“Selain terdapat kemudahan infrastruktur dan pengangkutan terbaik, terdapat banyak lagi tarikan menarik tersedia kepada pelancong.

“Tidak dilupakan negeri ini juga sebagai gerbang atau pintu masuk ke Malaysia melalui dua lapangan terbang di Sepang, iaitu KLIA dan KLIA 2 juga di Subang.

“Malah terdapat kemudahan pintu masuk melalui laut yang menjadi pangkalan kepada pengunjung atau pelabur dari Eropah yang menggunakan Pelabuhan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan FITUR yang turut disertai delegasi kerja Tourism Malaysia dan Tourism Selangor, di Feria De Madrid.

Antara tumpuan pelancongan di Selangor ialah Sky Mirror Kuala Selangor, Firefilies Park Kampung Kuantan, Mah Meri Cultural Village dan Gombak Selangor Quartz Ridge.

Untuk rekod, Selangor menerima kedatangan pelancong dari Sepanyol seramai 5,430, pada 2016 dan meningkat kepada 6,328, pada 2017.

“Merujuk kepada perkembangan ini, kami optimis lebih ramai pelancong dari negara ini akan memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan tahunan.

“Selangor teruja dapat mengambil bahagian dalam FITUR 2018 dan optimis menjalin kerjasama dengan mana-mana organisasi pelancongan bagi merancakkan pembangunan pelancongan di negeri ini,” katanya.


Pengarang :