Selangorkini
NASIONAL

Tolak politik fitnah, amal politik nilai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JAN: Arena politik Malaysia hari ini masih dicemari pendekatan sesetengah pemimpin dan kelompok masyarakat yang tidak mengamalkan politik idea atau nilai bersandarkan dasar, visi dan rekod perkhidmatan individu bagi menarik sokongan.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, golongan terbabit lebih gemar mengamalkan politik fitnah yang dijadikan peluru untuk menyerang peribadi bagi menjatuhkan lawan mereka.

“Walaupun sudah 13 kali pilihan raya dan tidak lama lagi tiba Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun politik kita masih belum matang kerana masih menggunakan serangan peribadi, fitnah dan perkauman untuk melemahkan pihak lawan.

“Pemimpin politik sepatutnya memberi contoh baik kepada rakyat, justeru kita perlu sama-sama berharap semua pihak amalkan politik nilai atau politik idea, jauhi politik fitnah kerana pembangunan dan kemajuan negara bersandarkan idea, visi serta dasar dibawa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, berbanding PRU-13 dan PRU-14 yang bakal menjelang, pendekatan menyerang peribadi musuh politik itu dijangka semakin tidak mendapat sambutan menjelang PRU berikutnya.

Beliau berkata, hal itu ekoran berikutan gaya pemikiran masyarakat pada masa itu lebih rasional, terbuka dan bijak menilai sesuatu berita dalam menentukan sokongan mereka.

Sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengutarakan supaya masyarakat politik negara ini menumpukan politik nilai, bukannya memfitnah untuk menjatuhkan lawan masing-masing.

Katanya, rakyat sepatutnya membuat pilihan berdasarkan dasar, visi dan rekod perkhidmatan yang dibawa, bukannya dengan mengambil kira serangan peribadi seseorang yang bersifat individu.


Pengarang :