Umno-BN diramal hadapi laluan sukar, gagal peroleh undi popular | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Hafizan Taib

Umno-BN diramal hadapi laluan sukar, gagal peroleh undi popular

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JAN: Umno-Barisan Nasional (BN) diramal menerima tentangan sengit pembangkang terutama Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) dan sekali lagi kehilangan undi popular.

Mantan Ketua Pengarang Kumpulan New Strait Times Press (NSTP), Datuk Seri Kalimullah Hassan, berkata jangkaan itu boleh berlaku pada PRU14 nanti biarpun Umno-BN mungkin tidak kalah dari segi jumlah majoriti di parlimen.


“Walaupun saya yakin Umno-BN akan kehilangan undi popular pada PRU akan datang tetapi saya tidak pasti ia akan kehilangan majoriti parlimen,” katanya dipetik Strait Times Singapore.

Beliau berkata demikian dalam Regional Outlook Forum anjuran ISEAS – Yusof Ishak Institute di Singapura, semalam.

Dalam PRU13 lalu, Umno-BN buat kali pertama kehilangan undi popular dengan mengumpul 47.4 peratus daripada keseluruhan jumlah undi manakala parti pembangkang diketuai Pakatan Rakyat (ketika itu) mendapat 52 peratus.

Biarpun hilang undi popular, Umno-BN menang kerana terdapat lebih banyak kerusi di luar bandar Semenanjung Malaysia, yang mesra dan memihaknya berbanding kawasan bandar dengan majoriti rakyat cenderung menyokong PAKATAN.

Seorang lagi pemerhati dalam forum itu, Pengerusi Agensi Berita Bernama, Datuk Seri Azman Ujang berkata, Umno-BN akan menghadapi laluan sukar dalam PRU14 meskipun diyakini mampu mengekalkan kuasa sedia ada.

Katanya, keadaan itu berdasarkan rasa tidak puas hati sebilangan rakyat terhadap isu skandal berkaitan kerajaan juga kos sara hidup tinggi terpaksa diharungi.

“Dengan undi di Sabah dan Sarawak dijangka kekal milik Umno-BN selain undi masyarakat Melayu luar bandar, ia mampu mengekalkan kuasa pada PRU14 yang dijangka dipanggil dalam beberapa bulan lagi,” katanya .

“Dengan parti pembangkang yang tidak bersatu, matematik mudah ini akan memberi manfaat kepada Umno-BN,” katanya.

Ahad lalu, dalam konvensyennya, PAKATAN menamakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai PPBM, sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-BN pada PRU14 nanti.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next