PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL sasar 12,000 pelajar baru tahun ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) mensasarkan kemasukan 12,000 pelajar, pada tahun ini.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman optimis jumlah itu mampu dicapai selepas mengambil kira perkembangan positif kemasukan pelajar, pada tahun lalu.

“UNISEL mengalami trend kemasukan pelajar yang sangat positif sekitar 10,000, pada 2017 dan kita jangka jumlah ini boleh bertambah sehingga 12,000.

“Walaupun jumlah itu dilihat agak tinggi, namun saya percaya kita mampu menerimanya hasil transformasi yang giat dilaksanakan pentadbiran UNISEL kini,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun lalu menyaksikan UNISEL mengalami pelbagai tranformasi baru meliputi aspek pembaikan bangunan dan pintu gerbang di kampus Bestari Jaya, proses baik pulih tasik, kemudahan fasiliti dan penjenamaan pengajian baru di Kampus Shah Alam.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, UNISEL juga sebelum ini pernah mengadakan program Hari Terbuka yang berjaya menerima kehadiran 30,000 pengunjung, di Kampus UNISEL Bestari Jaya.

“Kita sendiri tidak menyangka menerima kedatangan pengunjung yang sangat tinggi dan tidak mustahil ia mendorong kepada jumlah pertambahan kemasukan pelajar ke UNISEL,” katanya.


Pengarang :