BERITA UTAMA NASIONAL

Wanita Pakatan Harapan garis 7 agenda dasar

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 6 JAN: Tujuh agenda wanita Malaysia digariskan Wanita Pakatan Harapan untuk menjadi agenda dasar berkenaan isu wanita di Malaysia.

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata, agenda tumpuan yang digariskan itu menjadi tumpuan utama bagi menggerakkan masyarakat dalam usaha melahirkan wanita yang berdaya, celik politik dan cerdik ekonomi.

Beliau berkata, ia meliputi pendemokrasian politik dan kepimpinan serta masa depan wanita muda dan ekonomi peduli wanita selain dasar pendidikan progresif.

Katanya, selain itu, turut digariskan agenda kesihatan mampan, keharmonian sosial dan pemberdayaan serta penguatkuasaan undang-undang.

“Apabila diberi kepercayaan memerintah Selangor dan Pulau Pinang, kita banyak melaksanakan inisiatif memberdaya kaum wanita antaranya penubuhan Pusat Wanita Berdaya Selangor dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang.

“Malah, Institusi Wanita Berdaya Selangor turut ditubuhkan dan bertindak sebagai ‘think tank’ bagi menyambung wadah perjuangan wanita tetapi seluruh Malaysia,” katanya di Majlis Pelancaran Wanita Pakatan Harapan, di sini.

Zuraidah percaya Pilihanraya Umum ke 14, agenda yang digariskan itu akan menjadi tumpuan dan mendapat sokongan wanita di luar sana.

“Dasar Wanita Pakatan Harapan yang dirangka bagi merencana dasar-dasar pemerdayaan wanita disamping meningkatkan pembabitan wanita dalam pembangunan negara secara lebih meluas.

“Kita perlu sedar untuk bergerak selari dengan arus pembangunan global, wanita perlu diberi ruang untuk berkembang dalam apa jua bidang,” katanya.

Sementara itu, Zuraidah berkata calon Pilihanraya Umum ke 14 akan menampilkan penyertaan 10 hingga 15 peratus wanita yang akan bertanding.

=EZY=

 


Pengarang :