SELANGOR

YIDE bantu ibu tunggal mangsa kebakaran Pelabuhan Klang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyumbangkan beg kelengkapan diri dan bantuan kewangan kepada ibu tunggal bersama lapan orang anak yang terbabit dalam kejadian kebakaran kuarters kerajaan di Jalan Aur, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan YIDE, Md Ariffin Jaafar berkata, bantuan itu adalah inisiatif YIDE dalam menyumbang tenaga dengan memberi bantuan, khususnya kepada rakyat Selangor bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas.

“Program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya di Selangor.

“Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat Selangor, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

“Kita juga menawarkan perkhidmatan Rawatan Hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

YIDE adalah agensi yang dipertangungjawab menjalankan aktiviti kebajikan di negeri ini.

Ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 10.15 pagi, Suriyati Yusuf bersama dua orang anaknya berumur 21 dan 15 tahun sedang membuat persiapan ke sekolah selepas mendapati terdapat asap tebal dari rumah kosong sebelah rumah mangsa.

Hasil siasatan awal pihak bomba, kebakaran berpunca dari tinggalan sisa aktiviti dari penagih dadah di rumah kosong terbabit.

Operasi memadamkan api membabitkan 18 pegawai dan anggota bomba dari Pelabuhan Klang serta Kota Raja serta dibantu orang ramai.


Pengarang :