YIDE rancang tambah pusat dialisis setiap daerah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Sheeda Fathil

YIDE rancang tambah pusat dialisis setiap daerah

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 13 JAN : Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berhasrat memperluaskan khidmat rawatan hemodialisis dengan penambahan beberapa lagi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di setiap daerah di negeri ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, objektif YIDE ingin memperluaskan pusat dialisis di setiap daerah kerana jumlah pesakit buah pinggang semakin meningkat.


“Inisiatif ini dilakukan bertujuan membantu pesakit buah pinggang di setiap daerah negeri ini di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Rawatan hemodialisis adalah salah satu peranan YIDE untuk memberi khidmat sokongan kebajikan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak-anak Yatim di Masjid Nurul Jannah, Meru, di sini, hari ini.

Ami Nardin berkata, YIDE juga memerlukan sumbangan dari agensi korporat yang sudi menyumbangkan mesin hemodialisis bagi menggantikan mesin lama.

“Kami memerlukan sumbangan agensi korporat khususnya untuk memberi sekurang-kurangnya 20 mesin hemodialisis bagi menggantikan mesin lama yang tamat tempoh memandangkan kos penyelenggaraan sama sahaja seperti membeli mesin baharu.

“Pada masa sama kita dapat menyediakan perkhidmatan terbaik dan dapat mempertingkatkan lagi kualiti Pusat Dialisis MAIS,” katanya.

Terdahulu, YIDE adalah sebuah yayasan yang memberi khidmat sokongan kebajikan dalam bidang kesihatan dan perubatan seperti rawatan hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis MAIS.

YIDE mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS membabitkan Pusat Dialisis MAIS Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat dialisis itu menyediakan 43 mesin hemodialisis bagi menampung kapasiti 258 pesakit daripada pelbagai peringkat umur.

Malah, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

Sebelum ini, YIDE pernah menyalurkan bantuan kesihatan dengan mengagihkan Kad Peduli Sihat kepada anak yatim dan penjaga melalui Selgate Corporation Berhad sekaligus ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri komited menyantuni masyarakat di Selangor.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next