SELANGOR

YIDE santuni anak yatim, agih 2,000 baju sekolah

OLEH: SHEEDA FATHIL
GAMBAR OLEH: MUHAMMAD ASRI SAPFIE

KLANG, 13 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyantuni anak-anak yatim dengan mengagihkan 2,000 pakaian seragam sekolah dan kelengkapan alat tulis hasil sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di Masjid Nurul Jannah, Meru, di sini, hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, jalinan kerjasama bersama MBI melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah julung kali diadakan bertujuan membantu anak-anak yatim di negeri ini yang berdaftar dibawah pengurusan YIDE.

“Terima kasih diucapkan kepada MBI kerana sudi menjayakan ‘Pilot Project’ ini sekaligus ia dapat mengurangkan beban anak-anak yatim di samping membuatkan mereka terasa dihargai.

“YIDE turut membuka peluang dan ruang kepada mana-mana agensi korporat untuk bersama menyalurkan sumbangan bagi terus membantu masyarakat khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak-anak Yatim di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan pakaian seragam sekolah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Manakala, Ami Nardin berkata, perancangan bersempena tahun baru, YIDE sedang merangka pelbagai program yang lebih komprehensif supaya yayasan itu lebih dikenali umum pada masa akan datang.

Selain itu, Abdul Rani turut menyokong inisiatif yang dilakukan YIDE dan MBI dengan memberi bantuan kepada anak-anak yatim adalah suatu perkara yang patut dipuji.

“Saya sempat bertanyakan kepada anak-anak yatim, mereka sendiri tidak pernah mendapat sumbangan sebegini jadi inisiatif ini sememangnya harus dipuji sekaligus dapat memberi mereka sinar kegembiraan,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Rani turut memberi peluang kepada masyarakat sekiranya mempunyai cadangan yang ingin diusulkan samada memperluaskan bantuan kepada anak-anak yatim boleh dikemukakan untuk beliau bawa ke Sidang Dewan Selangor akan datang.

=EZY=


Pengarang :