SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

YIDE santuni ibu tunggal OKU kehilangan suami

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JAN: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan wang tunai dan barang keperluan asas harian daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) selepas kehilangan suaminya, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan, Md Arifin Jaafar berkata, Mas Suni merupakan golongan OKU sejak lahir dan kini berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat Cawangan Kajang.

Katanya, beliau telah kehilangan suami akibat serangan jantung ketika menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Jalan 6 di Bandar Baru Bangi.

“Ketika YIDE menerima berita tersebut, Mas Suni berada di Kelantan kerana sedang berpantang anak ketiga di rumah ibu bapanya.

“Selain menghulurkan bantuan keperluan asas, kita turut membantu mendaftarkan ketiga anaknya iaitu Muhammad Adam Arfan Hakim Mohd Idrus,8 tahun, Muhammad Danial Afi Hakim Mohd Idrus, 7 tahun dan Muhammad Firas Arfa Hakim Mohd Idrus, 8 hari dibawah seliaan YIDE supaya bantuan yang disalurkan khususnya bantuan wang saku semasa bulan Ramadan dapat diterima,” katanya dalam kenyataan.

Md Arifin turut memuji sikap masyarakat setempat yang cakna dengan persekitaran kerana ramai yang hadir dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini tanpa mengira bangsa.

Selain YIDE, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor turut hadir memberi sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu.

=EZY=


Pengarang :