AGAMASELANGOR

YIDE santuni pelajar tahfiz mangsa banjir

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 31 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tampil menghulurkan bantuan sumbangan ‘ad-hoc’ wang tunai kepada mangsa banjir kilat membabitkan Madrasah Tahfiz Al-Aziz, Sungai Sekamat, semalam.

Sumbangan disampaikan Pengurus Operasi dan Sumbangan YIDE, Md Arifin Jaafar kepada Muhammad Saari Md Yusof selaku Pengerusi Madrasah terbabit.

Md Arifin berkata, bantuan itu merupakan insiatif YIDE menyumbang tenaga dengan memberi bantuan khususnya kepada rakyat negeri ini bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.

“Program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) YIDE kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat di negeri Selangor,” katanya.

Menurut Muhammad Saari, kejadian banjir itu berpunca daripada sungai yang berada di bahagian belakang madrasah naik mendadak akibat cuaca hujan tidak menentu sekaligus menyebabkan limpahan air mulai naik.

“Kejadian seumpama ini sering berlaku kerana kedudukan madrasah yang berada berhampiran sungai sehingga terdapat juga hakisan tanah berlaku.

“Madrasah ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menempatkan 40 pelajar lelaki yang terdiri daripada sekolah menengah dan rendah,” katanya.

Saari berkata, jumlah kerugian dianggarkan RM10,000 bagi membeli kelengkapan baru yang sudah ditenggalami air.

=EZY=


Pengarang :