Selangorkini
SELANGOR

131 wanita DUN Sekinchan terima kad KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 27 FEB: 131 wanita dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, penyerahan kad itu merupakan pemberian fasa pertama di kawasan berkenaan.

“Fasa kedua dijangka diadakan pertengahan Mac ini memandangkan kami perlu meneliti dan menapis permohonan dengan terperinci supaya lebih adil.

“Bagaimanapun, kita berharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini sebaiknya dengan membeli barangan keperluan sahaja,”katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sesi Penyerahan kad KISS di DUN Sekinchan, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, pemberian KISS dapat membantu meringankan beban ditanggung golongan ibu dan suri rumah terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin menekan.

“Belum ada mana-mana negeri di Malaysia melaksanakan skim seperti Selangor lakukan dan ia membuktikan Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap rakyatnya.

“Malah, pemberian RM200 sebulan ini mengatasi Baucer Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi KISS, golongan ibu terlibat akan menerima bantuan kewangan RM200 setiap bulan selama setahun bagi  membeli barangan keperluan asas berbanding BR1M yang diberikan secara ‘one-off’.

Untuk itu, KISS dilihat jauh lebih berkesan membantu golongan sasar kerana setahun penerima memperloleh bantuan sekitar RM2,400 berbanding BR1M hanya RM1,200.

Sementara itu, penerima bantuan, Rosida Aziz, 43 menzahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan KISS oleh Kerajaan Negeri yang menurutnya membantu meringankan beban rakyat.

“KISS membantu saya meringankan beban suami untuk membeli barangan keperluan termasuk menyara enam anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mariam Usad, 43, turut berkongsi pandangan sama dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepedulian kebajikan rakyat.

“Ribuan terima kasih dan berharap program KISS diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :