SELANGOR

2,000 Permohonan, Sambutan KISS Luar Biasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Sekurang-kurangnya 2,000 permohonan diterima bagi DUN Batu Tiga menerusi pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail menyifatkan program itu mendapat sambutan luar biasa dalam usaha Kerajaan Negeri memberdaya golongan wanita.

Katanya, beliau tidak menyangka akan menerima permohonan yang banyak, namun Kerajaan Negeri hanya menetapkan kuota 500 permohonan di setiap DUN, ketika ini.

“Saya berharap pemohon yang belum terpilih supaya dapat bersabar dan saya percaya Kerajaan Negeri akan menambah kuota lebih banyak tahun depan.

“Program ini program yang sangat bermanfaat, sudah pasti pelaksanaan yang komprehensif terus dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :