SELANGOR

RM3.5 juta naik taraf Stadium Sultan Sulaiman

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 6 FEB: Sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja menaiktaraf Stadium Sultan Sulaiman, di sini yang bakal dimulakan tidak lama lagi.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kerja menaiktaraf itu membabitkan gantian lampu limpah yang lebih moden, trek dan penukaran padang rumput.

Katanya, naik taraf itu juga termasuk kemudahan tandas dan penggantian tempat duduk dan bangunan.

“Setakat ini, kita sedang dalam perbincangan dan kerja merancang pelan naiktaraf itu giat dilakukan.

“Peruntukkan sudah diluluskan bagaimanapun MPK berharap ia akan ditambah kerana kerja pengantian itu menggunakan bahan yang lebih baik,” katanya.

Yasid berkata, MPK mengemukakan kertas kerja baru bagi penambahan sebanyak RM1.5 juta itu kepada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor untuk dipertimbangkan.

“Sebaik sahaja kami mendapat jumlah tambahan, kami akan dapat memanggil tender projek itu.Saya harap peruntukan akan diterima bulan Mac.

“Kemudian kerja-kerja pembaikan boleh bermula pada akhir bulan Mei dan perlu diselesaikan menjelang Disember,” katanya.

Beliau berkata, MPK mahu menyediakan kemudahan terbaik supaya ahli sukan negeri dan rakyat dapat menggunakan stadium itu dengan suasana lebih baik.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan produk yang akan bertahan lama,” katanya

Terdahulu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari bersetuju dengan permintaan bahawa stadium itu perlu dibaiki segera ekoran keadaan stadium yang uzur.

Malah, landasan getah sintetik trek itu tidak lagi rata sekaligus boleh merisikokan pengguna.


Pengarang :