SELANGORWANITA & KEBAJIKANYB ACTIVITIES

240 golongan ibu terima kad KISS di DUN Sri Muda

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 240 golongan ibu yang berkelayakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Shuhaimi Shafiei berkata, ia adalah pemberian peringkat pertama di kawasan berkenaan.

“Diharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini sepenuhnya bagi manfaat seluruh ahli keluarga.

“Semoga pemberian bantuan kad ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kad KISS di Dewan Cendana, di sini.

Shuhaimi berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar 500 permohonan untuk ditandatangani namun sempat dikeluarkan sebanyak 240 sahaja.

“Oleh itu, bagi pemberian kad peringkat kedua, saya menjangkakan program pemberiannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, penerima kad KISS, P. Tanggam, 55 dari Alam Megah yang juga suri rumah berkata, kad itu akan digunakan bagi tujuan membeli barang keperluan asas dapur.

“Saya bersyukur dan gembira dengan pemberian kad ini kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan kami sekeluarga.

“Ia kerana, saya sering menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan akibat tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

Bagi Salmah Ahmad, 50, yang mempunyai tujuh anak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan diberikan.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana kad KISS ini dapat membantu keluarga saya untuk membeli barang keperluan dapur,” katanya.

Seorang lagi penerima, Tan Siew Tin, 55, berkata pemberian kad KISS dapat membantu dirinya dan keluarga membeli barang-barang untuk keperluan rumah.

“Terima kasih Selangor kerana membantu kami. Saya harap kad ini boleh digunakan untuk membeli barang bagi sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 pasaraya dan kedai runcit berdaftar.

=EZY=

 


Pengarang :