SELANGOR

27 kuil terima bantuan RM300,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 4 FEB: Sebanyak 27 buah kuil seluruh negeri menerima bantuan kewangan berjumlah RM300,000 daripada Kerajaan Selangor bagi tujuan pembangunan dan pembaikan fasiliti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen Kerajaan Negeri mempertahankan prinsip kesamarataan semua peringkat kaum.

“Selangor sudah maju dalam bidang perindustrian, namun saya mahu Selangor juga maju dalam bidang kebajikan rakyat selaras prinsip keadilan sosial, bukan kepada satu kaum tetapi kepada seluruh rakyat di Selangor.

“Ini adalah negeri tanah tumpahnya darah kita, dan perlu menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membela kebajikan semua rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ponggal Peringkat Negeri Selangor di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong malam tadi.

Hadir sama, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman; Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han; dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, kepedulian Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan masyarakat India di Selangor dizahirkan menerusi penambahan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta kepada kaum itu, tahun ini.

Beliau berkata, keperluan itu meliputi jumlah peruntukan bagi tujuan pembiayaan pendidikan kanak-kanak kaum India.

“Pada masa sama, Kerajaan Selangor turut melancarkan program pembangunan masyarakat India untuk membantu usahawan kaum India mendapat latihan kemahiran keusahawanan.

“Program ini bagi memastikan mereka boleh meningkatkan jaringan ekonomi dan pendapatan masing-masing dengan jumlah peruntukan dibelanjakan Kerajaan Negeri sebanyak RM3 juta,” katanya.

=EZY=


Pengarang :