PBTSELANGOR

3 bas disita MBSA parkir ganggu trafik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 FEB: Padah meletakkan kenderaan berat di bahu jalan, tiga bas disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat sekitar Seksyen 26 dan 27, pada 13 Februari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, dua bas disita di Seksyen 27 dan sebuah bas lagi disita di Seksyen 26, Shah Alam.

Katanya, penundaan kenderaan berat ini dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi diadakan bertujuan mengesan dan membanteras masalah kenderaan berat seperti lori dan bas yang diletakkan di kawasan awam seperti bahu jalan, kawasan kediaman dan rizab jalan.

“Bagi kenderaan berat yang tidak dialihkan, kenderaan tersebut akan ditunda dan akan dikompaun sebanyak RM2,420 manakala caj bagi simpanan di depoh adalah sebanyak RM50 sehari,” katanya.

Shahrin berkata, operasi bersepadu itu melibatkan kakitangan Jabatan Penguatkuasaan, Bahagian Perundangan, Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MBSA serta agensi luar termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“kita akan menjalankan operasi ini secara berkala bagi memantau masalah kenderaan berat yang memarkir kenderaan di kawasan awam sehingga mengganggu lalu lintas.

“Kenderaan berat ini turut mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kediaman khususnya kediaman bertingkat selain menyebabkan kerosakan kawasan hijau atau rizab, menghalang lalu lintas serta mengehadkan pemandangan akibat saiz kenderaan yang besar,” katanya.

=EZY=


Pengarang :