PBTSELANGOR

30 perumahan laksana sistem kawalan berpagar tanpa kebenaran

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Sebanyak 30 taman perumahan melaksanakan sistem kawalan berpagar tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya(MPAJ).

Yang Dipertuannya, Abd Hamid Hussain berkata, hanya 20 daripada 50 taman perumahan sahaja sudah mendapatkan kelulusan manakala selebihnya dilaksanakan secara haram.

“Memang kita menerima banyak permohonan daripada persatuan penduduk untuk mewujudkan sistem kawalan secara bergagar dan berpengawal, namun permohonan mereka tidak diluluskan kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

“Mengikut garis panduan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah, sekurangnya 75 peratus penduduk perlu bersetuju untuk mewujudkan sistem itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPAJ baru-baru ini.

Hamid berkata, untuk mewujudkan sistem kawalan tersebut, pembangunan perumahan perlu mempunyai kawasan seluas lebih daripada tiga ekar.

“Ia adalah piawaian yang telah ditetapkan KPKT.

“Jika pembangunan perumahan seluas satu ekar mahu mewujudkan sistem itu, mereka perlu membayar yuran yang mahal kerana jumlah rumah yang sikit,” katanya.

Tambah Hamid lagi, pelaksanaan sistem itu juga perlu mengambil kira banyak faktor lain antaranya tidak menghalang perjalanan penduduk di kawasan lain kerana terdapat juga beberapa perumahan yang jalannya dikongsi.

Selain itu, untuk melaksanakan sistem tutup laluan (boom gates) ke perumahan, mereka hanya boleh tutup dari jam 12 malam hingga 6 pagi sahaja.


Pengarang :