SELANGOR

30 wanita DUN Kinrara terima kad KISS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 FEB : Seramai 30 wanita terdiri daripada ibu tunggal dan golongan berkelayakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima manfaat kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, berkata, penyerahan fasa pertama mula dilaksanakan sepanjang Februari ini.

“Ini sebagai tanggungjawab berkebajikan Kerajaan Negeri terhadap golongan wanita berkelayakan bagi DUN Kinrara.

“Penyerahan fasa pertama kad ini akan diserahkan dalam tempoh awal Februari,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong, baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS yang bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 buah pasaraya dan kedai runcit berdaftar.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang telah menetap di negeri itu melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara atas talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :