BERITA UTAMASELANGOR

8 syarikat Jepun intai pelaburan baru Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 FEB: Sebanyak lapan syarikat pelaburan terbesar dari Jepun kini sedang meninjau prospek pelaburan terbaru di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris memaklumkan, perincian nama-nama syarikat berkenaan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Selepas delegasi Selangor mengadakan lawatan kerja pelaburan di Jepun baru-baru ini, kita sudah menerima senarai lapan syarikat dari Jepun yang akan meneruskan projek pelaburan di Selangor.

“Namun buat masa sekarang, kita tidak boleh dedahkan nama-nama syarikat kerana terdapat beberapa prosedur dan ketetapan di pihak mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri, di Dataran Petaling, baru-baru ini.

Terdahulu, Selangor berjaya meraih perolehan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion daripada sebuah syarikat berteknologi tinggi dari Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan, kerancakan kemasukan pelaburan dari Jepun membuktikan ekonomi Selangor masih kukuh serta sebagai destinasi pilihan pelaburan jangka panjang walaupun iklim kewangan dunia dilihat tidak menentu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Azman Mahmud berkata, pada tahun lalu, Jepun merupakan pelabur keempat terbesar negara meliputi pelbagai bidang antaranya sektor pembuatan melibatkan 53 projek dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion.

Katanya, pelaburan itu sekali gus mewujudkan kira-kira 4,390 peluang pekerjaan kepada rakyat pada masa akan datang khususnya kepada rakyat.

=EZY=


Pengarang :