Selangorkini
SELANGOR

800 t-shirt percuma Fun Run sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 FEB: Sebanyak 800 t-shirt akan diedarkan secara percuma kepada peserta aktiviti larian Fun Run sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, pada Ahad ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, bertemakan Shah Alam Bebas Plastik, peserta terawal akan menerima t-shirt secara ‘walk in’ semasa program tersebut dengan kaunter pendaftaran akan dibuka mulai jam 6.30 pagi.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk memeriahkan program iaitu pelepasan peserta bagi aktiviti riadah seperti acara berbasikal, acara berjalan kaki, persembahan pentas oleh kombo MBSA, aktiviti senamrobik dan pameran kesihatan.

“MBSA juga akan menyediakan permainan wall climbing, Fruit Eating Challenge, cabutan bertuah, Mobile Library MBSA, jualan baja kompos, jualan makanan di Food Truck, pameran Inisiatif Rendah Karbon, photo booth, petting zoo dan aktiviti doodles/painting.

“Turut diadakan, program Eco Free Market, Jom Picnic Dhuha bersama Zul Handy Black, Buskers As Assalam dan Ustaz Zul Pandan,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif MBSA melahirkan warga Shah Alam yang mengamalkan gaya hidup sihat, di samping mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya, menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam sekitar.

Pada masa sama, Kaunter Bergerak ‘Shah Alam on Wheel’ akan beroperasi bagi memudahkan orang awam membuat semakan dan pembayaran cukai taksiran, pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan jualan kupon parkir.


Pengarang :