NASIONAL

ABIM gesa kerajaan lindungi pemberi maklumat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa langkah proaktif kerajaan bagi mendaulatkan undang-undang dengan melindungi pemberi maklumat seperti termaktub di bawah Akta Perlindungtan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Presiden ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim berkata, langkah terbabit perlu demi menghilang kegusaran rakyat untuk mendedahkan maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu.

“ABIM mengungkap kembali kenyataan kerajaan pada Jun 2010 ketika Parlimen meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menegaskan tujuannya antara lain untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menggalakkan serta memudah cara pendedahan salah laku dalam sektor awam juga swasta serta melindungi mereka yang membuat pendedahan.

“Maka, ABIM menggesa pelindungan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak dibatasi oleh mana-mana undang-undang bertulis lain yang secara tidak langsung boleh menjenayahkan sesiapa sahaja ingin membuat pendedahan,” katanya.

Mohd Raimi berkata demikian sambil menjelaskan, ABIM memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan ke atas Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani, Johari Mohamad, atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, ABIM mengamati keputusan Mahkamah Sesyen itu adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) (Bafia) dan ia harus dihormati.

“Justeru, langkah lebih proaktif di peringkat kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia ada dalam melindungi pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“ABIM merujuk kepada Seksyen 6 (1) akta sama yang menyatakan: “Seseorang boleh membuat pendedahan kelakuan tidak kepercayaannya yang munasabah bahawa mana-mana orang telah membabitkan diri, sedang membabitkan diri atau bersedia untuk membabitkan diri dalam kelakuan tidak wajar: Dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis,” katanya.

Selain itu, Mohd Raimi berkata, ABIM juga menggesa untuk diwujudkan peruntukan ‘pembelaan’ kepada kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) untuk memberi hak kepada pemberi maklumat membela diri atas alasan munasabah seperti kepentingan awam apabila didakwa atas kesalahan mendedahkan sesuatu kesalahan.


Pengarang :