NASIONAL

ABIM: Pertahan harmoni demi masa depan gemilang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap keharmonian dan kesejahteraan negara ditunjangi rakyat berbilang kaum dapat terus dipertahankan demi masa depan lebih gemilang.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, ABIM menyarankan rakyat terus memupuk semangat perpaduan yang terjalin sekian lama.

“Sikap saling hormat menghormati serta budaya dialog perlu sentiasa dibugar serta disuburkan kerana kita digalakkan untuk saling kenal mengenal dan memahami antara satu sama lain.

“ABIM menerusi platform Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan terus konsisten dalam menggerakan agenda ‘Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’ melalui penyertaan anak muda di kampus mahupun negeri,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina tahun ini.

Beliau berkata, ABIM mengucapkan ‘Xin Nian Kuaile’ dan ‘Gong Xi Fa Chai’ kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tionghua.

Semoga perayaan itu, katanya, diraikan dengan suasana mesra dan meriah.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang perlu menjiwai semangat keharmonian tulen, memperkukuh tekad sejati dan beriltizam untuk menjalani kehidupan lebih baik sebagai masyarakat bertamadun,” katanya.


Pengarang :