NASIONAL

AirAsia tempatkan kru kabin lelaki penerbangan ke Aceh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: AirAsia hanya akan menempatkan kru kabin lelaki untuk penerbangan ke dan dari Aceh selepas pihak berkuasa wilayah Indonesia itu mengeluarkan arahan bahawa semua kru kabin wanita Muslim harus memakai hijab ketika tiba di wilayah tersebut.

Syarikat penerbangan tambang murah, dalam kenyataannya berkata pihaknya akur kepada peraturan dikenakan pihak berkuasa wilayah Aceh.

“Kami komited memastikan kru operasi kami mematuhinya. Buat masa ini, semua penerbangan AirAsia dari dan ke Aceh dikendalikan anak-anak kapal lelaki,” katanya memetik laporan Mstar Online.

Pihak berkuasa Aceh sebelum ini mengemukakan surat kepada syarikat penerbangan Indonesia, Garuda Indonesia dan syarikat tambang murah lain seperti AirAsia dan Firefly, mengarahkan kru kabin wanita Muslim memakai tudung semasa ketibaan atau berdepan hukuman oleh pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, syarikat penerbangan itu mungkin hanya akan menempatkan kru lelaki atau bukan Islam dalam penerbangannya ke Acheh.

Ong juga berkata syarikat penerbangan bajet itu sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pakaian seragam sesuai untuk kru kabin wanita Muslim.

“Kami masih menilai keadaan. Tiada keputusan kukuh telah dibuat,” katanya.

AirAsia dan Firefly adalah syarikat penerbangan utama yang mengendalikan penerbangan ke Bandar Aceh.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang menerapkan hukum syariah.

=EZY=


Pengarang :