SUKANKINI

Akademi Merah Kuning bekal pelapis masa depan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 FEB: Skuad bawah 21 Selangor United di bawah Akademi Bola Sepak Merah Kuning didedahkan dengan cabaran Piala Presiden 2018.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia adalah sebahagian persediaan jangka panjang menyediakan pemain masa depan yang bakal mewakili Selangor serta pasukan kebangsaan.

“Semoga mereka dapat mengharungi liga dengan semangat tinggi serta mencipta satu penanda aras baru dalam perkembangan akar umbi bola sepak, di Selangor,” tulis Amirudin di laman Facebooknya.

Terdahulu, Amirudin hadir merasmikan Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Selangor United yang ditaja jenama sukan terkenal, Lotto, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Mohd Zubir Idrus; Timbalan Pengarah MSNS, Nizam Marjugi; Jurulatih, Sven Gartung serta Penolong Jurulatih, M Chandran.

Kerajaan Negeri komited melahir bakat sukan dan Akademi Merah Kuning adalah antara landasan melahirkan pelapis berbakat dalam sukan bola sepak.

Akademi yang disertai beberapa bekas pemain kebangsaan sebagai jurulatih itu turut mempunyai pelan jangka panjang membabitkan peringkat akar umbi hingga ke peringkat persediaan untuk mengisi kekosongan di peringkat senior, pada masa hadapan.

Setakat ini, hampir 900 pemain muda menyertai Akademik Merah Kuning di sembilan pusat latihan, di setiap daerah.


Pengarang :