SUKANKINI

Amir kepada Noh: Bola sepak bukan tempat mainan politik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Selangor tidak pernah menjadikan bidang sukan termasuk bola sepak sebagai landasan politik bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah, katanya, perkara sebegitu juga tidak sesuai dan sewajarnya tidak dijadikan isu demi kepentingan politik pihak tertentu termasuk Umno-Barisan Nasional (BN).

“Bola sepak bukan menjadi tempat untuk mainan politik dan Kerajaan Negeri tidak pernah menggunakannya sebagai landasan politik kepartian.

“Ia agak bertentangan dengan norma dan juga citarasa bola sepak yang sebenar,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan itu berkata demikian mengulas tawaran Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang memaklumkan Umno-BN akan memgembalikan Stadium Shah Alam kepada pasukan Selangor sekiranya mereka berjaya mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri selepas PRU14 nanti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mengambil langkah populis itu bagi menyelesaikan masalah membabitkan FAS.

Katanya, apa dipentingkan Kerajaan Negeri adalah membetulkan keadaan yang berlaku dan meletakkannya kembali kepada landasan betul.

“Saya rasa rakyat Selangor juga tidak akan buta mata semata-mata dengan isu stadium bagi membuat keputusan dalam pilihan raya.

“Ini kerana pilihan raya membabitkan masa depan yang panjang dan bukan hanya berkaitan bola sepak,” katanya.

=EZY=


Pengarang :