SELANGOR

Azmin: Agihan kerusi DUN Selangor capai muafakat positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 27 FEB: Isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), mencapai keputusan positif hasil permuafakatan komponen PAKATAN di negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN kekal fokus menekankan prinsip persefahaman bagi menjamin kemenangan komponen itu.

“Saya harap rundingan diselesaikan secepat mungkin kerana dalam mana-mana proses rundingan, kita perlu melihat keperluan akar umbi dan rakyat di kawasan berkenaan.

“Ini proses demokrasi kerana saya mengambil pendirian bahawa proses pertalian dengan pengundi di bawah itu penting kerana akhirnya kita mahukan kemenangan itu.

“Bila bicara soal pengagihan kerusi, ia bukan soal ‘siapa dapat apa’ tetapi faktor kemenangan itu kerana mana-mana komponen Pakatan yang boleh menjana kemenangan, kita harus beri laluan.

“Inilah persefahaman yang telah diikat dalam negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan operasi Loji Rawatan Air Semenyih 2, pagi ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin mendedahkan empat mesyuarat sudah diadakan bagi menentukan 80 peratus pembahagian 56 kerusi DUN di Selangor.

=EZY=


Pengarang :