NASIONAL

Azmin cadang Najib sertai Shahrizat, Tiong Lai bertanding kerusi Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disarankan supaya mengikut jejak langkah Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Jalil dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dikatakan mahu bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin pengundi di Selangor cukup matang dan bijak menilai prestasi Kerajaan Negeri sejak mengambilalih pentadbiran pada tahun 2008.

“Itu Terpulanglah kepada mereka, saya tidak menentukan siapa calon Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi percayalah rakyat Selangor cukup matang dan bijak untuk menilai prestasi Kerajaan Negeri sejak 2008 hingga hari ini di mana dasar Kerajaan Negeri memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya yakin kematangan dan kebijakan pengundi Selangor, letaklah Shahrizat atau Liow, kalau boleh saya cadangkan letakkan Najib bertanding dalam Parlimen di Selangor dan lihat rakyat akan membuat keputusan,” katanya apabila diminta mengulas desas desus Shahrizat dan Tiong Lai dikatakan mahu bertanding di Sungai Besar dan Sekinchan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara 980 peserta dengan Syarikat Pemaju Paragon Pinenacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Jelasnya, antara perkara akan dinilaikan pengundi nanti apabila beliau berjaya menyelesaikan isu pemilikan kediaman dalam tempoh kurang tiga tahun sedangkan Umno-BN ketika berkuasa tidak menyelesaikannya dalam tempoh 20 tahun.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pembahagian kerusi Pakatan Harapan Selangor, beliau memberitahu rundingan masih berjalan dengan lancar dan akan diberitahu apabila selesai nanti.

=EZY=


Pengarang :