Selangorkini
SELANGOR

Azmin sedia bertanding di mana sahaja

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUKIT ANTARABANGSA, 10 FEB: Ahli Parlimen Gombak, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali, yakin rekod perkhidmatannya kepada rakyat adalah senjata terbaik beliau untuk bertanding, di mana sahaja.

Mohamed Azmin yang juga Dato’Menteri Besar Selangor berkata, beliau komited meneruskan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira kerusi mana yang beliau tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Sebagai pemimpin bersifat nasional, kita perlu bersedia bertanding di mana sahaja, namun akhirnya itu adalah keputusan rakyat bukan saya menentukan tetapi yakin dasar Kerajaan Negeri yang peduli rakyat, Insha Allah rakyat akan mempertahankan kerajaan sedia ada.

“Bukan di mana saya perlu bertanding tetapi di mana juga diletakkan, maka saya bertanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat. Ini yang saya tekankan,” katanya selepas menghadiri Program Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Masjid dan Surau Serta Solat Jumaat di Masjid Ukay Perdana, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemimpin juga diingatkan jangan terlalu bergelut dalam isu politik hingga lupa tanggungjawab kepada rakyat.

Mohamed Azmin yakin, isu pembahagian kerusi akan dapat diselesaikan dengan baik ketika ditanya isu pembahagian kerusi, di Selangor.

Katanya, sebarang pertikaian yang berlaku berhubung isu itu menandakan kesuburan demokrasi, di Selangor.

“Obama kata, proses demokrasi itu memang sesuatu yang bising, jadi memang biasalah kalau ada perbincangan tetapi kalau senyap sahaja itu namanya diktator,” katanya.


Pengarang :