PBTSELANGOR

Bangi sasar bandar ilmu dan rendah karbon menjelang 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 1 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berhasrat untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar ilmu dan bandar rendah karbon menjelang 2035.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, bandar itu akan menjadi pusat bandar utama yang diperkukuhkan fungsinya sebagai bandar pendidikan selain menggalakkan penggunaan tanah optimum.

“Ini adalah antara idea Majlis untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar rendah karbon dan ilmu.

“Antara cadangan yang akan dilaksanakan adalah menjadikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai hab penerokaan dan percambahan ilmu serta mengadakan kuliah dan majlis ilmu di masjid dan surau.

“Di samping itu, karnival dan pameran pendidikan juga akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan di Bandar Baru Bangi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat penuh MPKj Bil 1/2018 di Menara MPKj baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, kewujudan institusi pendidikan di bandar itu dapat memastikan kelestarian dan penerokaan ilmu sekali gus melahirkan modal insan berkualiti di bandar itu.

=EZY=


Pengarang :