SELANGOR

Bangkit kembali sukan sepak takraw

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 FE : Kejohanan Sepak Takraw Piala Haniza Talha anjuran Kelab Takraw Taman Medan yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima sambutan yang amat baik, semalam.

Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha berkata, kejohanan sepak takraw berkenaan diadakan bagi membangkitkan kembali sukan yang semakin dilupai itu.

“Sukan sepak takraw kurang mendapat perhatian pada masa kini, jadi ini adalah salah satu inisiatif DUN Taman Medan melaksanakan kejohanan itu supaya tidak terus lenyap ditelan zaman.

“Sebenarnya, ramai peminat yang gemar menyertai sukan ini, namun mereka kurang diketengahkan disebabkan atas beberapa faktor antaranya kurangnya publisiti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Haniza berkata, acara kejohanan sepak takraw itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada golongan belia mengcungkil bakat selain menarik mereka supaya tidak terjebak dengan perkara yang tidak bermanfaat.

“Acara sukan seperti ini amat bagus kerana ia membentuk disiplin pemain. Pada masa sama, saya turut menasihati mereka yang mempunyai kelab sepak takraw untuk berdaftar dengan Kerajaan Negeri atau Kementerian Belia dan Sukan supaya bakat dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.

Terdahulu, Kejohanan Sepak Takraw Piala Haniza Talha adalah pertama kali diadakan pada tahun ini membabitkan 36 pasukan dengan kategori terbuka untuk golongan belia bawah 45 tahun.

Haniza berkata, ia bakal dilaksanakan sebagai acara sukan tahunan, pada setiap tahun.

Manakala, hadiah ditawarkan masing-masing membawa pulang medal dan t-shirt, manakala johan menerima RM1,000, tempat kedua (RM600) dan tempat ketiga (RM200).


Pengarang :