NASIONAL

Banjir: 6 sekolah ditutup di Sarawak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Beberapa sekolah di Sarawak terpaksa ditutup selepas jalan perhubungan terputus ekoran dinaiki air.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melaporkan, terdapat enam sekolah terjejas ekoran banjir, manakala empat sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.

“Seramai 940 murid dari enam sekolah yang ditutup antarnya Sekolah Kebangsaan (SK) Klid/ Plajau, SK St John Kg Medong (M), Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chin Hua, SK Nanga, Selangau, SK Kuala Kenyana, Mukah dan SK Tanjung Pisang Selangking, Simunjan.

“Manakala empat sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya, Kuching; serta tiga sekolah di Samarahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan, SK Mang dan SK Haji Kelali Semera,” katanya dipetik BERNAMA.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, setakat ini sebanyak 2,320 mangsa banjir dari 624 keluarga ditempatkan, di 20 pusat pemindahan di Kuching, Samarahan, Serian, Mukah dan Bintulu.

“240 mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Kuching, 1,154 mangsa di lapan pusat pemindahan di Samarahan dan 562 mangsa di lima pusat pemindahan di Serian.

“Selain itu, 187 mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Mukah dan 177 mangsa berada di pusat pemindahan di Bintulu,” katanya.


Pengarang :